PASIR MAS - Seorang warga emas di Kampung Kolam, Gelang Mas pernah menerima enam jahitan dan mendapat rawatan di hospital gara-gara terjatuh akibat lantai rumahnya yang usang runtuh secara tiba-tiba.
Mek Ana Awang, 62, yang juga ibu tunggal berkata, kali terakhir dia terjatuh pada Disember lalu.
Menurutnya, dia tinggal bersama dua anaknya berusia 20 dan 34 tahun.
"Makcik ada enam anak, empat sudah berkahwin.
"Walaupun dua anak makcik tinggal bersama, tapi kami tak mampu baiki rumah kerana gaji cukup makan saja," katanya.
Mek Ana berkata, dia juga bekerja dengan mengambil upah anyam tikar.
"Sebulan, makcik dapat RM300. Duit tu cukup untuk makcik buat belanja tapi nak baiki rumah ni memang tak mampu," katanya.
Tambahnya, walaupun rumahnya sudah usang dan hampir roboh, namun dia terpaksa menumpang teduh di situ kerana tiada tempat tinggal lain.
"Bila hujan atau ribut, makcik hanya mampu berdoa agar rumah ni tak roboh.
"Rasa bergegar rumah ni bila ribut. Makcik memang takut tapi tetap bersyukur kerana masih ada tempat berlindung," katanya.
Tambahnya, selain berlubang dan papan reput, bumbung rumahnya juga sudah bocor.
"Bila hujan, makcik kena letak besen atau baldi untuk tadah air. Kalau lupa, dalam rumah akan basah," katanya.
Mek Ana menjadi ibu tunggal sejak 10 tahun lalu selepas suaminya, Hassan Hamat meninggal dunia.