SEKINCHAN - "Nasib baik saya sempat masuk ke dalam rumah, kalau lambat sikit, mungkin nyawa saya pun boleh melayang," kata seorang penduduk, Hassan Abdul Rahman, 54, selepas kediamannya di Parit 7 Ban 1 1/2, dipukul ribut, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, rumah didiami Hassan bersama isteri dan seorang anaknya mengalami kerosakan teruk apabila sebahagian besar bumbung kediaman mereka diterbangkan angin kuat.
Hassan berkata, ketika kejadian, dia sedang mengangkat beberapa helai pakaian di luar kediamannya itu.
"Sebaik keluar dari rumah, saya dapat rasakan angin tiup dengan kencang dan nampak pusaran angin, sebelum bergegas masuk ke dalam rumah.
Menurut Hassan, hanya beberapa saat saja, angin kuat itu menghentam kuat bumbung kediamannya itu.
"Masa tu saya dengar bunyi dentuman kuat, seolah-olah bunyi bom meletup dari atas rumah," katanya.
Hassan berkata, dia kemudiannya mengejutkan isteri dan seorang anaknya yang sedang tidur di bilik masing-masing.
"Kami menggigil ketakutan bila bumbung rumah bocor, apatah lagi hujan tidak henti lebih sejam," katanya.
Katanya, kejadian itu kali pertama berlaku sejak dia menetap di situ lebih 54 tahun lalu.
"Selain bumbung, beberapa barangan lain turut rosak terutama peralatan elektrik," katanya.
Sinar Harian difahamkan, selain sebuah kediaman penduduk, sebuah kedai makan di Parit 6, Sekinchan, di sini, turut mengalami nasib sama.
Peniaga, Rammizzah Bachok, 49, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi setelah dimaklumkan adiknya, Mohd Hafizul Firdaus Bachok, 34.
"Adik hubungi saya kata kedai sewa kami habis musnah sebab ribut kuat. Rasa nak gugur jantung sebaik saya sampai di kedai ini. Saya tengok, bumbung kedai dah tercabut dan berselerak atas lantai," katanya.
Rammizah berkata, dia bersyukur apabila kejadian itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, walaupun terpaksa menanggung kerugian besar.