GEORGETOWN - Lapan lelaki yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap 04 ditahan polis dalam Op Cantas sempena mini Thaipusam di Persimpangan Lebuh King di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut,Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam operasi yang dilakukan kira-kira jam 11 malam itu, polis turut menemui  lapan bilah parang yang disorokan di sekitar kawasan berkenaan dan dipercayai digunakan untuk melakukan rusuhan.
Menurutnya, sepanjang tempoh perayaan mini Thaipusam yang disambut sejak Selasa lalu di negeri ini telah berlaku dua kejadian rusuhan yang melibatkan beberapa kumpulan.
"Kejadian pertama berlaku pada Rabu lalu di Lorong Stewart telah menyebabkan seorang lelaki cedera parah manakala dalam kejadian berasingan pada hari yang sama berlaku satu lagi pergaduhan di persimpangan lampu isyarat Dato Keramat dan mengakibatkan dua lelaki cedera.
"Hasil risikan yang dilakukan oleh pasukan Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kita telah berjaya menahan lapan lelaki berusia diantara 18 hingga 27 tahun yang dipercayai terlibat dengan dua rusuhan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.
Anuar berkata, semakan yang dibuat mendapati dua daripada lapan lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya,kesemua suspek dibawa pulang ke IPD Timur Laut direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.