Monday, 30 January 2017

Filled Under:

Konco along kutip 'angpau' pagi raya - masuk ke dalam rumah dan merampas barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa dianggar bernilai RM4,000 sebelum.......



Tangkak: Polis memburu tiga lelaki dipercayai menganggotai kumpulan 'along' yang merampas barang berharga dan wang tunai daripada satu keluarga di Sungai Mati, dekat sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, pada kejadian awal pagi Tahun Baharu Cina, pengadu wanita berusia 23 tahun didatangi tiga lelaki yang membuat bising di luar rumah memintanya membayar hutang RM2,000.
"Ketiga-tiga suspek bertindak ganas membakar motosikal di depan rumah apabila pengadu tidak berani keluar dari rumah selepas diugut mereka," katanya di sini, hari ini.
Mohad Idris berkata nasib malang menimpa bapa mangsa yang berusia 46 tahun, apabila dia keluar dari rumah dan ditikam dengan senjata tajam disyaki sebilah pisau oleh seorang daripada suspek.
"Ketiga-tiga suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan merampas barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa dianggar bernilai RM4,000 sebelum melarikan diri," katanya.
Bapa mangsa, tukang baiki mesin jahit dibawa ke hospital untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.
Siasatan awal mendapati abang mangsa meminjam RM2,000 dan melarikan diri apabila gagal menjelaskan hutangnya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana dengan menggunakan api.
Menurut Mohad Idris pihaknya telah mengenal pasti dua daripada suspek dan masih menyiasat seorang lagi suspek yang belum dikenali.
Sehubungan itu, polis ingin menghubungi Ker Chian Hau, 25, dan Vincent Jauy Joo Sen, 24, yang juga rakan abang mangsa, bagi membantu siasatan dan meminta mereka yang mempunyai maklumat ketiga-tiga
suspek menghubungi balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 11:05 PM




0 comments:

Post a Comment