SEJAK kebelakangan ini, makin ramai selebriti memberanikan diri keluar dari kepompong selesa mereka.
Sebagai contoh, ada penyanyi memberanikan diri berlakon, ada pelakon beralih kepada menyanyi atau mengacara termasuk menceburi bidang perniagaan.
Begitu jugalah dengan bintang yang semakin meningkat naik, Janna Nick.
Mula dikenali sebagai pelakon, Janna bijak menggunakan populariti yang dimilikinya dengan menceburi bidang nyanyian.
Lebih bertuah apabila lagu tersebut mendapat sambutan ramai dan melonjakkan lagi nama Janna.
Namun apabila menggerakkan karier lakonan dan nyanyian dalam satu masa, pasti akan ada yang bertanya mana satu yang menjadi fokus utama mereka.
“Kalau boleh saya mahu gerakkan kedua-duanya seiring. Lakonan memang jiwa sebenar saya tapi nyanyian pun saya minat.
“Jika ikutkan nyanyian boleh buat duit mudah kerana kita hanya perlu nyanyi sahaja. Tapi takkanlah nak menyanyi ikut suka hati sahaja,” katanya kepada Media Hiburan.
Jelas Janna, kesibukan membataskan masanya memasuki kelas vokal, namun dia tekad mengeluarkan single kedua dalam masa terdekat.
“Alhamdulillah saya dapat tawaran 60 episod dari TV3 dan secara tidak langsung akan sibuk di set penggambaran selepas ini.
“Jadi untuk tidak nampak hilang begitu sahaja, saya mahu keluarkan single baru. Saya masih memilih material yang sesuai dan berharap sempat merekodkan lagu sebelum sibuk berlakon,” katanya.
Tambah Janna, dia juga berharap dapat keluarkan album, namun kekangan masa membatasinya.
Ditanya mengenai kontroversi yang melanda sejak kebelakangan ini, Janna berkata, dia tidak seronok dengan keadaan itu kerana tanggapan orang terhadapnya sedikit sebanyak mula berubah.
“Tidak dinafikan kontroversi yang melanda sedikit sebanyak merosakkan nama saya. Tanggapan orang pada saya pun berubah.
“Tapi saya akan cuba move on dan mahu membuktikan kontroversi ini tidak memberi kesan pada saya.
“Alhamdulillah dari sudut tawaran berlakon, fokus kerja memang tidak terjejas,” katanya.
Janna akui, walaupun ada antara  kontroversi itu bukan berpunca darinya, namun dia ambil keputusan memperbaiki setiap langkah di dalam industri seni.
“Tak kisahlah masalah itu datang dari mana, tapi saya tekad akan memperbetulkan langkah untuk jadi yang lebih baik.
“Maklumlah makin jauh kita pergi, makin orang kenal kita, akan ada yang mahu menarik kita ke bawah, yang tidak suka kita.
“Apa yang penting saya akan terus jadi diri sendiri sebab bila saya berperangai gila-gila orang kata saya over.
“Bila saya cuba kawal diri, orang kata saya sombong, berlagak diva. Jadi biarlah saya jadi diri sendiri dan kalau ada orang tak suka saya, saya akan tetap layan mereka sama rata,” jelasnya.
Ditanya kontroversinya dengan pereka fesyen, Janna berkata, dia enggan lagi memanjangkan perkara tersebut dan berharap hal itu tidak diperkatakan lagi.
“Saya bukannya nak bersikap diva dan tidak mahu hubunginya. Tapi saya, dia dan ALLAH SWT tahu apa sebenarnya yang terjadi.
“Industri kita tidak besar mana, nanti akan berjumpa juga. Saya tak mahu panjangkan lagi.Saya anggap segalanya sudah selesai,” katanya.