Ibu Datuk Aliff Terlajak Laris Kongsi Pengalaman Kahwin Muda Yang Amat Mengejutkan

3-1.jpg
Hidupnya pernah bersepai dan hampir musnah, selepas dia menjadi janda pada usia yang sangat muda. Tetapi Rozita Ibrahim segera menyeka air mata dan berazam untuk terbang tinggi!
Oleh: Huda Hussain 
rozita 1
SIAPAKAH Rozita Ibrahim dahulu sebelum terkenal seperti hari ini? 
Saya adalah seorang wanita yang dipaksa untuk berkahwin ketika usia saya 16 tahun, ketika itu saya mahu mengambil peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran). Saya mengambil masa untuk ubah minda daripada seorang wanita yang sedih kepada seorang yang lebih positif. Dalam blueprint saya, tiada perkara yang menyeronokkan.
Dan saya bijak menyembunyikan emosi. Benar, orang ramai atau pengikut saya di laman sosial melihat saya seorang yang ceria dan periang tetapi hakikatnya apa yang saya tempuhi hanya Allah yang mengetahui.
Dipetik daripada blog rozitaibrahim.com: “Saya pernah melalui perceraian, kemiskinan dan tekanan hidup yang amat sukar. Usia muda bergelar janda miskin tanpa kelulusan menyukarkan bagi saya mencari rezeki. Sehinggakan ingin menyuap makanan sehari sekali pun saya terpaksa berkira-kira.” Jika boleh dikongsikan kisah di sebaliknya? 
Itulah realiti alam perkahwinan yang saya lalui. Saya pernah dikurung bahkan pernah diugut ditetakkan parang. Saya dipaksa berkahwin ketika berumur 16 tahun dan mendapat anak sulung ketika berumur 17 tahun. Masya-Allah, terlalu banyak dugaan yang saya lalui.
Kehidupan saya ketika awal perkahwinan dahulu ibarat penjara. Dan terdetik di fikiran, bagaimana saya perlu keluar dari penjara (perkahwinan) ini sedangkan saya dikurniakan akal yang waras dan mampu berkira dengan baik. Saya berhak bersuara tetapi tiada siapa pun yang mahu mendengar.
Apabila saya kemukakan kes ke Mahkamah Syariah (yang terlalu rumit dan lama prosesnya), tetapi sudahnya saya yang terhukum dan terpaksa menanggung segalanya. Dahulunya saya adalah seorang pelajar yang bijak tetapi mengapa saya tidak bijak dan berjaya mengatur langkah dalam kehidupan? Diskriminasi keluarga telah melenyapkan segala.



Bagi saya, itu semua umpama sehelai kertas dan penghargaannya hanya saya sendiri yang merasainya. Saya terokai setiap ilmu menerusi pengalaman. Dan contoh terbaik, Sendayu Tinggi melambangkan misi dalam hidup saya.

Selepas apa yang berlaku, saya berkata kepada anak-anak saya. Walaupun hidup dalam kemiskinan, jangan sesekali meminta-minta kerana peluang untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik sentiasa ada di tangan kita. Apa yang penting adalah usaha tanpa mengenal erti putus asa. Dan menjadi seorang dewasa bukanlah mudah kerana saya perlu merancang semuanya demi keberlangsungan hidup anak-anak.

Saya tanamkan dalam minda agar sentiasa berfikiran dan mengambil energi positif. Benar, bukanlah mudah bergelar ibu tunggal apatah lagi perlu menyara hidup anak-anak yang masih kecil. Tetapi saya gunakan kelebihan diri saya untuk mengubah masa depan diri saya dan anak-anak. Bukan bermakna saya menggunakan kecantikan diri tetapi kecantikan yang saya maksudkan adalah kecantikan dalaman yang disulami dengan keikhlasan dan kejujuran.

Saya sentiasa mengingatkan anak-anak apa jua yang dimakan itu sebenarnya menentukan kita manusia yang bagaimana. Makanan itu membekalkan tenaga dan dari situ ia memberikan kita akal yang mencorakkan nafsu. Dan seharusnya nafsu itu perlu dikawal hala tujunya sama ada untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya.




Pasti sukar menempuh ujian dan dugaan ketika tempoh genting itu bukan? Jadi, apa yang menguatkan Bonda Rozita untuk kembali bangkit daripada kegagalan silam? 
Apabila melalui kemiskinan, hidup serba kekurangan, saya renung ke dalam mata anak-anak saya. Saya tidak mahu anak-anak melalui hidup dalam kesusahan. Nak makan pun susah. Apabila anak-anak dapat makan ais krim, keseronokan mereka itu umpama menggenggam intan berlian. Dan pada saya hidup dalam kemiskinan memberi banyak tekanan.

Saya bukanlah seorang yang suka meminta-minta. Dan dalam masa sama, saya muhasabah diri. Berkata kepada diri sendiri, “Rozita, seronokkah hidup dalam keadaan begini?” Walaupun punya anak, saya tidak merasai nikmatnya menjadi ibu. Saya tidak seronok punya anak. Saya gagal menjadi ibu yang baik kerana tidak mampu memberikan tempat perlindungan yang sempurna, tidak mampu memberikan makanan apatah lagi pendidikan.

Namun saya tekad, selagi saya boleh ubah hala tuju diri dan cuba memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak, saya harus lakukannya. Dan pilihan yang ada adalah, saya perlu keluar mencari rezeki demi membangunkan kehidupan saya dan anak-anak. Saya tidak bergantung hidup kepada bekas suami walaupun mereka dikurniakan Allah menerusi kudrat dan akal yang jauh lebih kuat daripada wanita.

Usai perceraian, saya bekerja keras untuk memperbetulkan segalanya. Benar, saya tidak mampu mengusung pedang bertempur di medan perang tetapi semangat saya umpama wirawati dan srikandi yang berjuang untuk memberi kehidupan kepada anak-anak yang masih kecil.

Saya melakukannya bukan kerana mengejar kekayaan tetapi mahu melihat betapa indahnya kehidupan ini. Saya juga bangkit kerana mahu beri anak-anak saya makan dan menyekolahkan mereka.




Sebelum menceburi perniagaan produk kecantikan, apakah lapangan profesyen Bonda Rozita? 
Saya bekerja sejak muda lagi. Saya pernah menoreh getah, bekerja kilang, bekerja di pejabat sebagai kerani dan pelbagai pekerjaan asalkan ia memberi pulangan. Selagi pekerjaan itu memberi wang yang dapat saya kongsikan dengan anak- anak, itulah yang saya lakukan.


Bagaimana terdetik mahu menceburi lapangan perniagaan? 
Saya mahu keluar daripada kepompong kemiskinan. Yalah, miskin tiada apa-apa. Tiada baju malah mahu makan pun disekat dan dicatu. Dan saya lihat hanya perniagaan yang mampu membantu mengubah hidup saya dan anak-anak ketika itu.



<<Tonton Video Temu Bual Eksklusif Bersama Pengasas Produk Sendayu Tinggi dan Jamu Malaya>>



Mengapa memilih perniagaan dalam bidang kecantikan dan tidak bidang lain? 
Hanya dengan melihat alam sekeliling yang serba-serbi cantik menyuntik semangat saya. Melihat alam dan setiap pemberian Allah itu sudah cukup menggembirakan saya. Tambahan pula saya memang sukakan kecantikan.

Saya suka melihat orang yang cantik dan saya fokuskan pancaindera saya agar bisa menguasai apa yang saya suka. Dari situ saya belajar bagaimana untuk memanfaatkan bidang kecantikan agar ia dapat memberi sumber inspirasi dan jika bukan bidang kecantikan, pertanian adalah pilihan kedua.




Daripada Sendayu Tinggi dan kini Jamu Ratu Malaya. Kongsikan sejarah turun naik, dalam bidang perniagaan kecantikan yang dilalui? 
Perkara yang paling sukar ketika awal penubuhan Sendayu Tinggi adalah modal. Apabila tiada modal, saya katakan pada diri tiada orang yang akan kasihankan saya. Dan saya sendiri tidak mahu raih simpati. Maka saya berniaga tanpa modal.

Namun berbekalkan pendekatan modal insan yakni bersifat peramah, perkasa kemahiran komunikasi, yakin diri dan curi perhatian dengan sifat jujur. Pada saya kejujuran, kepercayaan dan keyakinan yang diberi oleh orang sekeliling adalah titik asas yang amat bermakna. Sementelahan saya sendiri tidak suka menipu, maka saya percaya dan yakin orang sekeliling juga pelanggan dan pengguna Sendayu Tinggi tidak mahu rasa tertipu.

Itulah asas yang menjadikan Sendayu Tinggi bertahan dan berjaya ketika itu. Walaupun ada segelintir pihak mensabotaj untuk menjatuhkan saya dengan mengatakan bahan dan kandungan di dalam produk saya berbahaya. Saya percaya di sebalik ujian besar yang di lalui sepanjang zaman kegemilangan Sendayu Tinggi, Allah mengetahui segalanya.

Bagi saya, lebih besar perniagaan maka semakin banyaklah masalah dan ujian yang perlu saya harungi. Namun indahnya di sebalik semua itu, Allah pulangkan kesabaran kala menempuh pelbagai ujian dan tohmahan itu dengan sesuatu yang sukar saya gambarkan. Janji Allah itu benar dalam membantu hamba-Nya. Saya tetap bersyukur walaupun ditimpa musibah, susah atau senang.




Nilai hidup atau falsafah yang Bonda pelajari selama meniti pelbagai ujian getir ini? 
Saya menjadikan alam kehidupan sebagai universiti dan mendalami apa itu siologi, prospek kemanusiaan dan potensi mereka. Ilmu mengenai perniagaan tiada di universiti. Allah mahukan saya dalam bidang ini. Kemiskinan dan kesusahan telah mengajar saya untuk bertahan meskipun saya tidak kuat dan tidak tahan sabar dalam ujian. Dari situ mengajar saya banyak perkara.

Falsafah atau nilai hidup yang membuatkan saya bertahan adalah, zaman dahulu saya bertarung menggunakan tenaga dan keberanian. Keluar masuk hutan untuk menoreh getah.

Tetapi era kini dalam perniagaan, saya perlu kuatkan akal dan tajamkan ilmu untuk mengasah kekuatan generasi selepas saya agar mereka boleh menyambung perjuangan saya dan meneruskan perniagaan ini. Selagi boleh membayar hutang dan membayar gaji pekerja itu pun sudah memadai.




Apakah kekuatan yang ada pada generasi terdahulu yang tiada pada generasi hari ini? 
Mereka tidak memikirkan hiburan kerana dahulu tiada ataupun kurang medium untuk berhibur. Apatah lagi mahu bersosial. Hanya kerja-kerja berat yang dilakukan. Berbeza dengan anak-anak zaman sekarang yang menggemari dan lebih dekat juga akrab dengan gajet juga fesyen.

Malah pada pemerhatian saya, terlalu banyak pengaruh Barat dalam kehidupan mereka kini. Lantaran itu, mereka tidak suka atau dekat dengan alam semula jadi, pertanian apatah lagi mahu mencuba dalam kerja-kerja bertukang.

Dan jika hiburan yang mereka kejar, saya gusar dan bimbang kerana ia boleh menyebabkan mereka khayal dan tidak jelas dengan hala tuju serta masa hadapan.




Jika ada yang berpendapat tidak perlukan pendidikan tinggi kerana pengalaman yang akan menjadi sekolah terbaik anda. Pandangan Bonda? 
Tidak bermakna saya tidak menggalakkan anda mendapatkan pendidikan waima hingga ke peringkat tertinggi. Tetapi, saya terlebih dahulu ingin memohon maaf andainya komen ini bercanggah dengan pandangan anda. Ia cuma pandangan peribadi berdasarkan apa yang telah saya lalui. Ilmu itu tempatnya bukan sahaja termaktub di universiti tetapi ilmu itu ada di sekeliling kita.

Jika ia tidak diaplikasi dan tidak dicari gali, ia umpama berlian yang tidak dicungkil keluar. Pengalaman yang saya lalui amat berharga dan secara tidak langsung menjadikan saya sebagai manusia yang lebih baik berbanding kehidupan lalu.

Sebagai ibu, pengajaran daripada kesilapan dan pengalaman lalu telah mengubah corak pemikiran saya agar sentiasa membuka minda dan mata agar mampu melihat sesuatu dari pelbagai sudut. Hanya pilihan terletak di tangan kita. Gunakan setiap kurniaan Allah seperti akal kiran dan pancaindera untuk memacu hidup yang lebih baik.



Sudah berjaya dan punya empayar perniagaan tetapi Bonda masih lagi mahu bekerja. Mengapa? Adakah kerana masih tidak puas dengan apa yang dikecapi atau bagaimana? 
Saya adalah seorang wanita yang tidak reti duduk diam. Dalam kepala saya, sarat dengan pelbagai idea dan berbagai-bagai kerja mahu saya usahakan. Saya dapat ilham tentang sesuatu seperti irama muzik nan indah. Seakan-akan saya bisa membayangkan melihat benda itu berlaku depan mata. Dan selebihnya saya pertimbangkan setiap tindakan di samping melihat setiap sudut buruk dan baiknya.

Jika lebih banyak kebaikan saya akan olah untuk merealisasikannya. Bukan mahu mendabik dada, tetapi saya tidak memandang soal kebendaan kerana saya pernah merasa bagaimana peritnya hidup sebagai seorang yang miskin. Matlamat saya adalah untuk membina madrasah selain membantu mereka yang kurang berkemampuan mengikut cara saya yang tersendiri.

Bukan menerusi pemberian wang ringgit tetapi mengajar mereka bagaimana cara untuk berjaya. Saya meletakkan diri saya sebagai wirawati yang mempunyai anak- anak hebat. Dan rentetan itu, saya ilhamkan Jutawan Bonda untuk saya tebarkan selain mewarisi kreativiti saya kepada generasi akan datang.




Harapan kepada anak-anak?
Saya percaya semua ibu mahukan anak-anaknya berjaya. Jika ditanya pada saya, pasti saya mengharap dan mendoakan anak-anak saya sayang dan kenal Allah serta Rasulnya. Saya percaya anak-anak akan lebih sayang saya apabila mereka mengenal Allah dan Rasul-Nya. Pegangan agama itu adalah bekalan untuk hidup.

Bukan harta dunia dan akademik semata-mata kerana itu bukan pegangan jiwa yang mengekang daripada kita melakukan kepincangan di dunia. Itu azam saya kerana sejujurnya saya masih usahakan mendidik mereka sebaiknya. Saya akui, diri ini masih banyak khilaf dan daif. Jauh daripada kesempurnaan dalam pengetahuan agama.

Saya masih belajar dan berdoa semoga Allah bisa mengubah dan tetapkan iman anak-anak dan diri saya kepada jalan agama. Saya faham anak-anak tertekan apabila saya ber kiran begini. Mereka bosan apabila saya sering bertanyakan mengenai solat, baca Al-Quran atau tidak setiap kali berjumpa. Bukan apa, saya takut anak-anak hidup atas nama sahaja Islam tetapi amalannya tidak melambangkan mereka itu orang Islam.

Hidup kita adalah mencari keredhaan Allah. Justeru saya berpesan kepada semua juga sebagai peringatan buat diri saya agar kita sama-sama perbaiki diri.


rozita 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *