Sunday, 31 July 2016

Filled Under:

Mudah kena penyakit, kasut tumit tinggi juga sebabkan barah? ★ MRM

Mudah kena penyakit, kasut tumit tinggi juga sebabkan barah? ★ MRM
Foto fail menunjukkan gadis Rusia bersiap untuk perlumbaan 100m dengan kasut tumit tinggi bagi merebut hadiah 100,000 ruble (RM9,300) di Moscow. — Foto AFP
LONDON – Sejak bertahun-tahun lamanya wanita diberi amaran tentang bahaya memakai kasut tumit tinggi pada kesihatan kaki dan sendi.
Pakar komunikasi Helen Sewell mendedahkan Britain mengalami kerugian £260 juta (RM1.4 bilion) setahun akibat cuti sakit wanita berkaitan kasut jenis itu, lapor Daily Mail semalam.
“Memakai kasut bertumit tinggi membawa dampak serius pada keupayaan anda berfikir dengan baik, keupayaan bernafas dengan baik dan keupayaan menampilkan imej eksekutif,” katanya kepada jawatankuasa parlimen mengenai kod pakaian kerja, minggu lepas.
Terdapat beberapa kajian yang mengenal pasti risiko kesihatan berkaitan pemakaian kasut tumit tinggi dalam jangka panjang.
Walau kasut jenis ini pada mulanya boleh menguatkan otot-otot pergelangan kaki, tetapi dalam jangka panjang otot-otot tersebut mulai lemah, menyebabkan mudah cedera, lapor ahli fisiologi Universiti North Carolina tahun lalu.
Kajian-kajian lepas mencadangkan kasut tumit tinggi boleh menimbulkan beberapa masalah seperti jari kaki bengkok, keletihan otot dan kehausan sendi.
Selain masalah-masalah tersebut, Dr David Agus, pakar barah terkenal di Universiti Southern California, juga mengaitkan kasut tumit tinggi dengan risiko kanser.
Bukunya A Short Guide to A Long Life — menyenaraikan langkah mudah mengurangkan risiko terkena barah dan penyakit — tidak menggalakkan wanita berkasut tumit tinggi.
Katanya, berkasut tidak selesa setiap hari bukan sahaja boleh menyebabkan kesakitan sendi, malah ia mencetuskan radang peringkat rendah apabila badan dipaksa berada dalam postur tidak semulajadi.
“Sesetengah radang boleh dikaitkan dengan beberapa penyakit termasuk sakit jantung, Alzheimer, penyakit autoimmune (sistem imunisasi menyerang sel sihat), kencing manis, dan dengan mendadak meningkatkan risiko kanser,” kata Agus seperti dilaporkan portal itu.
Kanser ibarat raksasa sedang tidur
Tambahnya, barah disebabkan gen yang rosak dalam DNA seseorang. Jadi apa-apa sahaja yang merosakkan DNA atau mengganggu proses pembaikannya boleh menambah risiko terkena kanser.
Profesor Agus percaya jika badan terpaksa terus-menerus berdepan dengan radang yang kronik, ia tidak mampu membaiki DNA yang rosak kerana asyik memberi tumpuan merawat radang itu.
“Apabila bengkel DNA badan kita ditutup, keadaan ini mendedahkan kita kepada barah dan macam-macam penyakit,” katanya lagi.
Memakai kasut tumit tinggi sepanjang hari, setiap hari, boleh mencetuskan radang pada bahagian jari kaki, buku lali dan tumit.
Dampak buruk di bahagian kaki itu boleh merebak ke atas untuk mencetuskan radang dan kerosakan sendi di lutut pula.
Kasut tumit tinggi boleh juga membawa kesan buruk pada pergelangan kaki, pinggul dan otot-otot bahagian bawah belakang.
Semakin tinggi kasut, semakin seseorang tidak selesa dan semakin anda memaksanya semakin tinggi risiko kesihatannya.
Pendekatan Agus berdasarkan keyakinannya bahawa kanser bukanlah sesuatu yang kita “dapat” tetapi berpunca daripada apa yang badan kita “lakukan”.
“Kanser seperti raksasa yang sedang tidur di dalam diri kita. Kadangkala ia terjaga seketika dan menghasilkan sel-sel aneh (ketumbuhan), tetapi bagi kebanyakan kes, ia akan kembali tidur hasil mekanisme pertahanan badan,” katanya.
Jadi, walau kasut tumit tinggi bukanlah penyebab kanser tetapi dengan memakainya anda secara tidak sengaja menghalang keupayaan badan melawan kanser. – Agensi / Malay Mail




0 comments:

Post a Comment